TRANSAKSI PENJUALAN ONLINE DALAM TEMPOH COVID-19 DAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) & TANGGUNGJAWAB PENJUAL DAN HAK-HAK PEMBELI

  1. Jualan dalam talian atau jualan online telah menjadi semakin popular terutamanya di Malaysia. Dalam dunia kehidupan serba moden yang bergantung dengan sebaran maklumat di laman sesawang, ramai peniaga dan penjual menjadikan perniagaan online sebagai mata pencarian menerusi penjualan produk-produk serta perkhidmatan dalam talian melalui pelbagai medium seperti aplikasi Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, Email dan melalui laman-laman permiagaan online seperti eBay, Lelong, Lazada, Shopee, Mudah dan lain-lain.

  2. Dalam pada itu, lanjutan dari penularan wabak Covid-19 bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ianya telah mengakibatkan urusan perniagaan secara langsung atau terus terjejas dengan teruk terutamanya di kedai-kedai, pasaraya-pasaraya dan outlet produk-produk.

  3. Kesan langsung fenomena ini, memperlihatkan pengguna-pengguna lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan pembelian produk-produk samada yang diperlukan mahupun yang dikehendaki dan akan cuba mengelakkan pembelian secara terus atau langsung di tempat-tempat perniagaan yang menjual produk-produk tersebut. Trend pengguna-pengguna dijangkakan akan lebih memilih pembelian produk-produk secara online dari peniaga dan penjual selagimana penularan Covid 19 masih belum dibendung dan masih berleluasa di seluruh dunia.

  4. Diperhatikan sebelum dari ini, terdapat banyak kes-kes penipuan pernjualan online yang telah dilaporkan dan terdapat juga tangkapan-tangkapan dan pendakwaan yang dibuat terhadap peniaga online oleh kerana kesalahan-kesalahan yang dilakukan gara-gara tidak peka dan tidak mengambil maklum peruntukkan undang-undang yang terpakai dan merangkumi perniagaan online.

  5. Dalam Artikel ini, penulis akan cuba menjelaskan tanggungjawab penjual serta hak-hak pembeli dalam transaksi perniagaan online agar pematuhan undang-undang dapat dilaksanakan oleh peniaga dan secara langsung agar hak-hak pembeli dapat dilindungi terutamanya menurut Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

  6. Dalam menjalankan perniagaan online ini, peniaga dan penjual adalah tertakluk dan terikat dengan pematuhan ketat undang-undang berkenaan jual beli barangan yang termaktub di Malaysia termasuk :-

    1. Akta Jualan Barangan 1957 yang memperuntukkan pematuhan oleh peniaga (termasuk peniaga online) antara lain, berkenaan definisi barang, kontrak penjualan barang, harga barang, mutu serta kualiti barang dan hantarserah serta milikan barang;

    2. Akta Perdagangan Elektronik 2006 yang memperuntukkan peruntukkan berkenaan pembentukan suatu kontrak, komunikasi tawaran, penerimaan tawaran, dan pembatalan tawaran dan penerimaan atau apa-apa komunikasi yang berkaitan penjualan boleh dinyatakan melalui suatu mesej elektronik;

    3. Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan pematuhan oleh peniaga (termasuk peniaga online) antara lain supaya peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna untuk mengambil keuntungan yang berlebihan bagi suatu barangan dan perkhidmatan serta memastikan kenaikan harga barangan atau caj bagi perkhidmatan yang dilaksanakan adalah terkawal;

    4. Akta Perihal Dagangan 2011 yang mengandungi peruntukan seperti berkaitan salah laku peniaga (termasuk peniaga online) berkenaan amalan perdagangan, perlanggaran cap dagangan, pelantikan pihak berkuasa berwibawa untuk perakuan dan pengecapan barang serta penalti. Perkara lain merangkumi peruntukan yang berkaitan dengan pengeluaran sijil dan perakuan halal;

    5. Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan pematuhan oleh peniaga (termasuk peniaga online) berkenaan tanda harga, pengiklanan, pembekalan, keselamatan produk dan perlindungan menyeluruh terhadap pembeli dan pengguna; dan

    6. Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang memperuntukkan pematuhan oleh peniaga berkenaan transaksi online untuk tanda harga, pengiklanan, pembekalan, keselamatan produk dan perlindungan menyeluruh terhadap pembeli dan pengguna dalam pembelian secara online.

    Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012

  7. Di bawah Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, telah diperuntukkan bahawa kesemua pihak yang terlibat dalam urusan jualan produk atau perkhidmatan secara online adalah diwajibkankan untuk mematuhi beberapa perkara, sebelum sesuatu penjualan online di arena internet dapat dimuktamadkan.

  8. Perlu diambil perhatian bahawa peruntukkan ini bukan sahaja hanya melibatkan penjual yang membuat transaksi perniagaan dalam laman jualan sendiri atau blogshop, tetapi turut sama meliputi mereka yang menjual barang atau produk melalui laman-laman jualan umum seperti Lelong, Shopee, Lazada dan juga Mudah.com. Penjual yang menggunakan medium Facebook, Instagram, Email, WhatApps dan Telegram juga tertakluk kepada peraturan ini.

    Tanggungjawab Penjual Dalam Transaksi Penjualan Online

  9. Mana-mana Penjual online perlu memaparkan maklumat lengkap berkaitan nama, alamat serta nombor pendaftaran syarikat, perniagaan atau maklumat individu penjual dalam laman web jualan mereka bagi membolehkan pembeli mendapat dan mengetahui maklumat-maklumat tersebut dengan jelas.

  10. Di bawah Jadual Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, antara maklumat yang perlu dipaparkan oleh penjual dalam menjalankan perniagaan online adalah :

    1. Nama orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud membekalkan barang atau perkhidmatan melalui laman web atau dalam pasar dalam talian, atau nama perniagaan, atau nama syarikat.

    2. Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat penjual.

    3. Alamat e-mel dan nombor telefon, atau alamat orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud membekalkan barang atau perkhidmatan melalui laman web atau dalam pasar dalam talian.

    4. Perihal tentang ciri utama barang atau perkhidmatan itu.

    5. Harga penuh barang atau perkhidmatan termasuklah kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain.

    6. Kaedah pembayaran.

    7. Terma dan syarat-syarat.

    8. Anggaran masa penghantaran barang atau perkhidmatan kepada pembeli.

    Kegagalan Penjual Mematuhi Peraturan

  11. Kegagalan mana-mana penjual online untuk mematuhi peruntukkan-peruntukkan di atas akan menyebabkan penjual tersebut melakukan suatu kesalahan di bawah Peratutan dan boleh didakwa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Seksyen 147 dan 148 Akta Perlindungan Pengguna 1999 di Mahkamah. Sekiranya ingkar, peniaga boleh didenda sehingga RM50,000 ataupun dipenjara 3 tahun, atau kedua-duanya sekali untuk setiap kesalahan yang dilakukan.

    1. Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya peniaga online boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

    2. Selain itu, pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM200,000.

    3. Bagi kesalahan yang berterusan oleh peniaga online, mereka boleh dikenakan tambahan denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

    Kesan Penguatkuasaan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012

  12. Kesan dari penguatkuasaan Peraturan ini akan memberikan lebih maklumat berkenaan pematuhan oleh peniaga online serta akan lebih memberikan jaminan dan perlindungan kepada pengguna dan pembeli yang melakukan transaksi secara online terutamanya pada masa penularan wabak Covid-19 ini dan sewaktu musim perayaan yang semakin hampir.

  13. Pembeli dalam perkara ini tidak lagi perlu bimbang mengenai identiti atau keesahan seseorang penjual dan boleh mengetahui maklumat dan butiran berkenaan dengan seseorang penjual, harga dan terma-terma dengan mudah terus melalui laman jualan sekiranya diperlukan kelak.

  14. Lanjutan dari perlaksanaan Peraturan di atas, peniaga online tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan ayat sebagai contoh "PM untuk harga" di media sosial. Peniaga online yang melanggar undang-undang jika tidak memaparkan maklumat peniaga atau harga barangan, dan meminta pelanggan menghubungi mereka untuk mendapatkan harga boleh menyebabkan mereka didakwa di Mahkamah.

    Bagaimana pembeli/pengguna boleh memaklumkan pihak berkuasa jika ada peniaga yang tidak mematuhi keperluan ini?

  15. Pembeli atau pengguna jika anda mengetahui mana-mana peniaga online yang tidak mematuhi peruntukkan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 sebagaimana yang telah diterangkan di atas boleh menghubungi pihak-pihak berikut :-

    1. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
      1-800-886-800
      https://e-aduan.kpdnhep.gov.my/

    2. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
      03-78769000
      email: myaduan@nccc.org.my

    3. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
      +60 3-7875 6370
      http://www.fomca.org.my/v1/index.php/hubungi-kami

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkara di atas, anda boleh menghubungi firma kami di talian 03-2171 1484 atau di mail@azamlaw.com.


  1. General (13)
  2. COVID-19 & MCO (9)
  3. Competition Law (2)
  4. Islamic Banking and Finance (2)
  5. Funds and Asset Management (3)
  6. Intellectual Property Rights (5)
  7. Case Commentaries (8)
  8. External Publications (4)
  9. Gallery (4)
For further clarification of any of the above articles, please contact us at mail@azamlaw.com